Karangan yang baik haruslah diolah dengan mengembangkan isi iaitu menghuraikannya sambil mengemukakan bukti atau contoh yang sesuai. Dalam hal ini, kita jarang-jarang mendengar murid menghadapi masalah untuk mendapatkan isi karangan. Namun demikian, kebiasaannya murid menghadapi masalah untuk mengolah atau mengembangkan isi karangan tersebut. Mereka selalunya menghadapi masalah untuk mengembangkan isi tersebut agar menjadi satu kesatuan idea dalam perenggan-perenggan karangan. Isi tersebut perlu dikembangkan menjadi satu pertautan idea antara satu perenggan dengan perenggan yang lain.
Murid-murid juga selalunya menghadapi masalah untuk menulis karangan yang menepati jumlah perkataan, seperti yang dikehendaki oleh soalan. Kerap kali berlaku, murid-murid menulis karangan yang jumlah perkataannya kurang daripada yang telah ditetapkan oleh soalan. Perenggan karangan juga biasanya tidak seimbang kerana terdapat perenggan yang panjang dan ada pula perenggan yang pendek. Perkara ini berlaku kerana murid-murid tiada teknik atau cara yang boleh membantu mereka untuk mengembangkan isi karangan agar seimbang antara perenggan. Oleh hal yang demikian, cikgu akan membincangkan teknik atau cara-cara untuk mengolah atau mengembangkan isi karangan.
Keperluan Soalan
Bagi peperiksaan PT3. SPM dan STPM, bahagian ini akan mengemukakan beberapa soalan karangan yang berdasarkan isu-isu semasa. Berdasarkan trend soalan semasa, terdapat satu soalan yang biasanya merujuk kepada soalan karangan berformat. Untuk menghasilkan karangan yang baik, empat proses yang berikut perlu diikuti oleh pelajar, iaitu:
i. Membaca semua soalan
ii. Membuat pemilihan dan perancangan
iii. Menulis karangan
iv. Membuat semakan
Selepas proses pertama dan kedua itu dilakukan, barulah murid menjalankan proses yang ketiga iaitu menulis karangan. Proses menulis karangan akan melibatkan pengolahan dan pengembangan isi karangan yang diperoleh dalam proses yang kedua. Proses inilah yang paling rumit dan mencabar kebolehan, kemahiran dan pengetahuan murid. Oleh hal yang demikian, proses yang ketiga ini perlulah diberikan tumpuan utama kerana markah karangan murid akan ditentukan oleh proses yang ketiga ini.
PENDAHULUAN
Teknik FACLK (Fokus, Akibat, Contoh, Langkah, Kepentingannya)
Contoh :
Skop Soalan :
Kerajaan telah berusaha untuk membanteras gejala rasuah, namun amalan yang berakar umbi dalam kalangan masyarakat ini masih wujud. Pada pendapat anda, mengapakah masalah rasuah perlu dibendung?
Kebelakangan ini, kes rasuah semakin bertambah dan nampaknya sukar dibanteras kerana melibatkan pegawai kerajaan dan swasta, ahli politik, dan orang awam. (F) Keadaan ini membimbangkan kita kerana jika dibiarkan, sudah tentu perkara ini akan menjadi seperti api di dalam sekam. (A) Fenomena ini sekali gus akan melahirkan masyarakat yang tiada integriti, contohnya jika seseorang pegawai menawarkan rasuah untuk menutup kesalahan dirinya daripada landasan undang-undang, jelaslah betapa rendahnya akhlak dan maruah dirinya. (C) Oleh itu, semua pihak harus berusaha untuk membanteras gejala rasuah agar masyarakat Malaysia yang amanah dan berintegriti dapat dilahirkan. (L) Hal ini perlu dititikberatkan kerana rasuah perlu dibanteras dari awal iaitu, mencegah lebih baik daripada mengubati sesuatu penyakit. (K)
PERENGGAN ISI
Ayat Topik / Isi Utama (AT)
Ayat Huraian (AH)
Ayat Contoh (AC)
Kesimpulan (Ayat Penegas) (K)
Contoh :
Skop soalan : Kesan Rasuah
Selain itu, rasuah turut akan mewujudkan pemerintahan yang lemah kerana setiap kali rasuah berlaku, maka pemerintah kehilangan hasil atau tergelincir daripada tindakan-tindakan yang sepatutnya (AT). Umpamanya jika cuai terhadap sesuatu yang telah ditentukan, maka pemberian rasuah telah menggantikan wang cukai yang sepatutnya dikutip dan manfaatnya hanya dinikmati oleh segelintir pemberi rasuah. Kesan yang paling besar daripada gejala rasuah ini ialah akan menyebabkan pentadbiran sesebuah negara menjadi kucar-kacir (AH). Akibatnya, ia menimbulkan masalah lain seperti kemerosotan ekonomi, pengabaian kepentingan masyarakat dan sebagainya (K). Budaya rasuah juga boleh menghancurkan pentadbiran dan pemerintahan sesebuah negara seperti yang berlaku di Filipina yang mencatatkan sejarah kejatuhan kerajaan presiden Marcos dari tampuk kepimpinan disebabkan amalan rasuah yang tidak terbendung. (AC)
PENUTUP
Contoh :
Skop soalan : Kesan rasuah
Oleh hal yang demikian, masalah rasuah perlulah ditangani oleh pihak berkuasa dengan kerjasama anggota masyarakat. (Kesimpulan) Pihak berkuasa hendaklah mengadakan kempen secara besar-besaran tentang keburukan dan kesan rasuah kepada masyarakat. (Huraian) Hal ini demikian kerana, jika masalah rasuah tidak diatasi sudah tentu perkara ini akan merosakan jentera pentadbiran. (Huraian + Kesan) Hal ini demikian kerana, jika masalah rasuah tidak diatasi sudah tentu perkaraini akan merosakkan jentera pentadbiran negara. Jadi, sebelum nasi menjadi bubur, kita berharap agar permasalahan ini dapat ditangani dengan berkesan sebelum menjadi lebih serius. (Peribahasa) Sekiranya hal ini dapat direalisasikan sudah pastilah masyarakat dan negara kita akan bebas daripada di belenggu rasuah. (Kepentingan) .