Soalan : Kesan-kesan Rasuah
Kebelakangan ini, kes rasuah semakin bertambah dan nampaknya sukar dibanteras kerana melibatkan pegawai kerajaan dan swasta, ahli politik, dan orang awam. Keadaan ini membimbangkan kita kerana jika dibiarkan, sudah tentu perkara ini akan menjadi seperti api di dalam sekam. Fenomena ini sekaligus akan melahirkan masyarakat yang tiada integriti, contohnya jika seseorang pegawai menawarkan rasuah untuk menutup kesalahan dirinya daripada landasan undang-undang, jelaslah betapa rendahnya akhlak dan maruah dirinya. Oleh itu, semua pihak harus berusaha untuk membanteras gejala rasuah agar masyarakat Malaysia yang amanah dan berintegriti dapat dilahirkan. Hal ini perlu dititikberatkan kerana rasuah perlu dibanteras dari awal iaitu, mencegah lebih baik daripada mengubati sesuatu penyakit.
Kesan pertama ialah kesan terhadap pelaku rasuah. Kesan yang paling cepat dirasakan adalah keatas individu-individu yang terlibat dengan rasuah itu sendiri. Mereka akan kehilangan pekerjaan dan kepercayaan masyarakat terhadapnya. Terdapat satu kes di mana SPRM telah menangkap seorang awam yang telah melakukan rasuah. Beliau telah didapati bersalah dan menerima hukuman penjara. Lanjutan peristiwa itu, isteri dan empat orang anaknya masih kecil datang ke pejabat SPRM bagi menyara hidup keluarganya. Pesalah serta keluarganya juga mengalami gangguan emosi dan psikologi. Kajian yang telah dijalankan oleh SPRM keatas orang-orang yang pernah ditangkap dan dihukum kerana rasuah mendapati bahawa pesalah-pesalah rasuah telah mengalami tekanan jiwa, malu, terhina, menjadi sensitif, kebebasan tergugat serta pergaulan sosial yang terhad. Satu lagi kesan yang dirasai ialah bilamana mengalami kerugian wang yang banyak kerana terpaksa membayar khidmat peguambela sehingga ada yang terpaksa bergadai harta benda.
Gejala rasuah sememangnya akan meninggalkan pelbagai implikasi terhadap pelbagai pihak. Oleh kerana itu, perbincangan mengenai rasuah adalah penting kerana kegiatan rasuah akan melumpuhkan fungsi perjalanan sesuatu organisasi. Dengan adanya kegiatan rasuah, tiada sesiapa akan dapat mengagak tindakan seseorang atau hasil daripada sesuatu rancangan untuk masa depan. Kemajuan sesebuah negara bergantung kepada cerdik pandai dan profesional yang ada. Kegiatan rasuah akan hanya menghakis kepercayaan orang awam terhadap cerdik pandai negara kita. Disamping itu, gejala rasuah turut akan memburukkan lagi taraf kemiskinan rakyat kerana sumber-sumber yang telah ditetapkan bagi membantu rakyat miskin diselewengkan. Justeru bagi mengelak berlakunya keadaan sedemikian adalah menjadi tanggungjawab semua pihak dalam membanteras isu ini hingga ke akar umbi.
Selain itu, rasuah turut akan mewujudkan pemerintahan yang lemah kerana setiap kali rasuah berlaku, maka pemerintah kehilangan hasil atau tergelincir daripada tindakan-tindakan yang sepatutnya. Umpamanya jika cuai terhadap sesuatu yang telah ditentukan, maka pemberian rasuah telah menggantikan wang cukai yang sepatutnya dikutip dan manfaatnya hanya dinikmati oleh segelintir pemberi rasuah. Kesan yang paling besar daripada gejala rasuah ini ialah akan menyebabkan pentadbiran sesebuah negara menjadi kucar-kacir. Akibatnya, ia menimbulkan masalah lain seperti kemerosotan ekonomi, pengabaian kepentingan masyarakat dan sebagainya. Budaya rasuah juga boleh menghancurkan pentadbiran dan pemerintahan sesebuah negara seperti yang berlaku di Filipina yang mencatatkan sejarah kejatuhan kerajaan presiden Marcos dari tampuk kepimpinan disebabkan amalan rasuah yang tidak terbendung.
Rasuah juga telah menyebabkan tumpuan pelaburan dan pembangunan tidak seimbang dan saksama, iaitu jika berlakunya rasuah dan penyelewengan, maka ia akan mewujudkan golongan masyarakat yang terpaksa menanggung kesan buruknya. Tumpuan pembangunan dan pelaburan berpusu ke sektor tertentu sahaja. Ketidakseimbangan ini wujud bukan kerana sektor ini mempunyai permintaan dan keuntungan yang tinggi tetapi kerana rasuah. Maka berlakulah pertumbuhan ekonomi yang berat sebelah dan sektor-sektor lain yang tidak ada peluang untuk melakukan rasuah, maka ia tidak diperkembangkan.
Kesimpulannya, masalah rasuah perlulah ditangani oleh pihak berkuasa dengan kerjasama anggota masyarakat. Pihak berkuasa hendaklah mengadakan kempen secara besar-besaran tentang keburukan dan kesan rasuah kepada masyarakat. Hal ini demikian kerana, jika masalah rasuah tidak diatasi sudah tentu perkara ini akan merosakan jentera pentadbiran. Hal ini demikian kerana, jika masalah rasuah tidak diatasi sudah tentu perkaraini akan merosakkan jentera pentadbiran negara. Jadi, sebelum nasi menjadi bubur, kita berharap agar permasalahan ini dapat ditangani dengan berkesan sebelum menjadi lebih serius. Sekiranya hal ini dapat direalisasikan sudah pastilah masyarakat dan negara kita akan bebas daripada di belenggu rasuah.